Itu, Ini, Semuanya Politik?

Amat mengagumkan pada hari ini apabila kita buka sahaja Facebook, pasti ada sahaja rakan yang menjadi tok nujum, ahli majistret, detektif dan tidak kurang ahli pendeta yang mengadili dan melihat sesuatu perkara itu berkaitan dengan politik. Bukan penulis bertujuan menghina atau memperkecil, tetapi mungkin itulah sinonim trend masyarakat sosial pada masa ini berfikir secara puratanya. Adapun entri senang pada kali ini mengupas persoalan minda masyarakat sosial di laman sosial, persoalan ini pastinya dapat menjawab serba sedikit mengenai persepsi pengguna laman sosial Negara ini terhadap kejadian dan isu yang berlaku di sekeliling mereka. Sebelum pergi jauh dalam entri pada kali ini, sila maklum bahawa saya tidak berniat untuk menuding jari mahupun mewakili mana-mana parti tetapi sekadar renungan kita bersama.


Marahkan nyamuk, kelambu dibakar

Ada situasi yang memperlihatkan peribahasa di atas, bayangkan satu tragedi yang melibatkan kemalangan ngeri yang disebabkan oleh kecuaian pemandu bas disiarkan di 'wall feed' akhbar tempatan, kemudian muncul komen-komen takziah dan simpati. Tidak berapa lama kemudian, muncul pula komen mengatakan ianya salah parti tertentu kerana kemalangan tersebut berlaku di negeri pimpinan parti politik tersebut atau sebaliknya kerana kekurangan pelaksanaan dasar keselamatan. Datang pula komen sokongan, memberikan 'bahan bakar' untuk menyedapkan lagi intisari komen yang semakin sesak dengan tontonan masyarakat digital pada hari tersebut. Kini komen itu telah bercampur baur antara simpati dan tragedi politik; memadamkan kesalahan sebenar tragedi tersebut iaitu kecuaian pemandu bas.

Wajib: Pasti Ada yang Disalahkan

Apa yang penulis lihat melalui komen-komen kebiasaan hasil daripada nukilan masyarakat Malaysia pada hari ini lebih berbaur kepada tekanan dan penudingan jari. Dengan keterbukaan Facebook dan Twitter yang menjadi sumber utama kepada maklumat yang memudahkan input dan output informasi memberikan akses kepada setiap insan untuk memberikan pendapat mereka dalam sesuatu isu, media mahupun status yang dipaparkan oleh seseorang di internet. Boleh dipuratakan secara kasar, kebanyakkan daripada kita akan menuding jari kepada pihak parti politik untuk dipersalahkan, tidak kira dari segi agama, undang-undang mahupun masalah sosial. Apakah patut masalah sosial,berkenaan kepincangan keluarga atau pembuangan bayi disalahkan kepada parti politik? Mungkin ada sedikit 'relevan' untuk menyalahkan, tetapi sebagai seorang rakyat yang juga merupakan seorang ayah, ibu, abang, kakak, adik, saudara, kawan dan jiran, kita sepatutnya memikul tanggungjawab itu dengan keterbukaan; Sebagaimana kita dengan keterbukaannya menempelak parti politik dengan fakta dan bukti pelbagai. Bukan salah parti politik atau senario politik di Negara itu jika anak-anak kita tidak rapat dengan kita kerana kesibukan kita di tempat kerja menyebabkan mereka bergaul bebas di luar sana atau kecuaian kita memandu laju melebihi had di jalan raya. Mungkin ada baik dan mungkin ada buruknya pelaksanaan sesuatu peraturan yang dilaksanakan oleh parti-parti politik ini, cuma kita terlalu 'tersekat' dengan pandangan negatif tanpa memikirkan kebaikannya. Pelaksanaan undang-undang berasaskan agama mungkin dapat mendidik masyarakat dengan lebih baik manakala pelaksanaan sistem baharu untuk mendenda pesalah jalan raya yang memandu laju dapat menyelamatkan nyawa di Negara ini. Semuanya ada kebaikan tetapi pasti setiap perancangan ada kepincangannya, kerana sang lemah yakni manusia mencipta solusinya.

Merosakkan Pemikiran Analitikal

Pemikiran menyalahkan antara satu sama lain terus terang pasti merosakkan pemikiran analitikal masyarakat kerana masyarakat akan lebih cenderung untuk berfikir kepada aspek politik, perundangan dan mungkin kurang kepada pemikiran analitikal berasaskan penyelesaian. Bayangkan jika seorang kanak-kanak dilatih untuk bergantung harap seratus peratus kepada ibunya hinggalah dia berusia 21 tahun. Apakah 'mindset' atau pemikiran yang ada pada kanak-kanak itu apabila beliau dewasa? Pastilah keberjayaannya akan di'asbab'kan kepada ibunya dan kelemahannya juga pasti akan di'faktor'kan kepada kekurangan ibunya. Pengulangan dan trend pemikiran sebegini harus dielakkan dan sebagai masyarakat yang mengamalkan demokrasi, pemikiran masyarakat hendaklah lebih menjurus kepada keberkesanan analitikal dan bukannya kebergantungan. Sekiranya masyarakat tidak mampu berfikir secara efektif, bagaimanakah masalah di masa mendatang akan diselesaikan? Saya percaya masyarakat yang mempunyai sesuatu masalah pastinya mempunyai idea dan penyelesaian yang lebih efektif yang boleh disalurkan kepada parti yang mereka sokong dan bukannya mengamalkan tuding-menuding di antara satu sama lain.


Bermula dari Siapa

Perubahan ini haruslah dimulakan dari diri kita sendiri dan kemudian kepada ahli keluarga, rakan dan saudara kita. Saya pasti, sekiranya parti politik di Negara ini mengamalkan konsep tanggungjawab dan bersifat 'membantu menyelesaikan', tidak perlu sebarang perhimpunan, skandal penipuan pilihanraya mahupun perbalahan untuk merebut undi kerana rakyat pasti tahu parti manakah yang sesuai dan lebih bermanfaat kepada diri, keluarga dan Negara ini.

Konklusi

Tampak mudah, tetapi untuk keluar dari pemikiran sebegini pastinya mengambil masa. Saya yakin ia boleh dilakukan dan demi kebebasan demokrasi, ia membebaskan minda masyarakat dari tersekat kepada terma dan syarat parti masing-masing. Tidak kurang, ia menambahkan produktiviti perjuangan parti politik di Negara ini dengan lebih sihat. Wallahu'alam.

0 komen dari pembaca: