Masa Depan Jalur Lebar Negara

masadepanjalurlebar

Jalur lebar atau ‘Broadband’ begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia pada hari ini yang sentiasa berhubung mahupun mendapatkan maklumat daripada internet. Penggunaannya begitu meluas sehinggakan tahap keperluannya termasuk dalam perkara yang wajib ada dalam setiap kediaman di negara ini.

 

Penulis masih ingat ledakan perkataan ‘Broadband’ yang berlaku kira-kira 3 tahun lepas iaitu pada tahun 2009 yang mula dipopularkan oleh penyedia telekomunikasi DiGi yang memfokuskan golongan pelajar untuk menggunakan perkhidmatan ini memandangkan para pelajar sentiasa memerlukan akses internet untuk mencari maklumat.

 

Penulis juga tidak ketinggalan ditawarkan dengan perkhidmatan ini dan apa lagi, perkhidmatan ini terus dilanggan tanpa berfikir panjang kerana bakal memudahkan pembelajaran sepanjang penulis menuntut di universiti.

 

Namun begitu penulis tidak sedar dan alpa bahawa setiap pelanggan akan terjebak dalam jerat kontrak yang telah disyaratkan dalam pembelian mahupun langganan pakej-pakej broadband pada masa itu dan akhirnya terbeban dalam hutang apabila broadband tidak digunakan dalam masa yang ditetapkan dalam kontrak – walaupun penulis tidak menggunakannya lagi.

 

Itu kisah benar mengenai pengalaman penulis dalam menggunakan broadband atau jalur lebar, pasti ramai lagi yang mempunyai kisah yang sama.

 

Berbalik kepada masa depan jalur lebar ini, penulis positif bahawa masa depan jalur lebar ini cerah dan mempunyai skop keuntungan yang besar memandangkan dunia kita pada masa ini menggunakan internet dengan kadar yang tinggi untuk menjimatkan kos dan efektif dalam menyebarkan maklumat keseluruh benua di bumi ini.

 

Lambakan Penyedia Perkhidmatan Jalur Lebar

Penyedia jalur lebar di Malaysia semakin bertambah dan semakin galak berlumba-lumba mempromosikan perkhidmatan dalam pelbagai kualiti dan versi. Ada diantara penyedia perkhidmatan ini begitu berani menawarkan akses internet dengan kadar serendah RM1 tapi dengan kualiti yang tidak begitu memuaskan hati pengguna.

 

Harga versus Kualiti

Penulis begitu bimbang dengan trend ini kerana sudah menjadi lumrah dalam keadaan perniagaan di Malaysia untuk menawarkan sesuatu dengan kadar yang murah tapi dengan kualiti yang rendah.

 

Hal ini perlu ditangani kerana jika semua orang ingin membeli dengan harga murah, para peniaga juga akan menawarkan perkhidmatan dengan harga yang murah tapi dengan kualiti yang tidak memuaskan demi kemajuan dan keuntungan syarikat.

 

Logiknya, perkhidmatan yang lebih baik pasti dicas dengan cas yang mahal selaras dengan kualiti dan kos teknologinya. Dengan itu, pastinya penyedia perkhidmatan yang menyediakan kualiti perkhidmatan yang baik pasti akan ‘gulung tikar’ kerana tidak dapat menampung kos penyediaan perkhidmatan akibat persaingan sengit.

 

Cas Melebih-Lebih

Tidak cukup dengan isu kualiti, bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan yang baik pula wujud situasi ‘cekik darah’ hanya kerana kononnya menyediakan perkhidmatan kelas pertama.

 

Cas khidmat kelajuan, bil, bantuan pengguna dan sebagainya dicas dalam angka yang menyakitkan dada. Unsur riba dan kapitalisme pula diaplikasikan oleh syarikat-syarikat ini demi mengaut keuntungan besar dari kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

 

Pengguna yang memerlukan akses internet yang baik dan sekurang-kurangnya berkelajuan sederhana pasti akan sengsara dan tertindas. Apa tidaknya, tiada pilihan untuk melanggan kepada perkhidmatan yang lebih baik akibat perbezaan harga-kualiti yang begitu ketara.

 

Celoteh

Kerajaan perlu mengadakan satu garis panduan atau paras harga kepada para penyedia telekomunikasi untuk tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang rendah (untuk kualiti yang tidak memuaskan) yang pastinya menjejaskan keuntungan penyedia perkhidmatan lain yang menawarkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

 

Ini juga tertakluk kepada harga tertinggi yang boleh dicas kepada pengguna (berdasarkan jenis penggunaan) untuk mengelakkan bebanan hutang dan kebantutan teknologi jalur lebar di negara ini kelak.

 

Hal ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah pihak, tetapi mereka harus ingat bahawa perkara seremeh inilah yang rata-ratanya punca kepada permasalahan yang besar.

 

masa depan jalur lebar

Impak

Jika dibiarkan berterusan, akan berlakulah lambakan perkhidmatan jalur lebar di negara ini dan lebih membimbangkan ialah syarikat yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ dalam menceburi bidang ini. Pastinya penggunalah yang akan sengsara.

 

Persaingan sengit yang lebih memihak pada penyedia perkhidmatan yang menawarkan harga rendah pastinya membantutkan kualiti penyediaan perkhidmatan jalur lebar di negara ini. Jika syarikat terpaksa menurutkan persaingan (walaupun dalam kelas perkhidmatan berbeza) pastinya akan menjejaskan pertumbuhan sihat kerana kita boleh lihat sekarang beberapa syarikat dari profail berbeza berlumba-lumba dalam satu kelas perkhidmatan yang membawa kepada penurunan kualiti perkhidmatan selaras dengan harga yang ditawarkan.

 

 

Konklusi

Penulis kadang berfikir ada kalanya sedikit campur tangan pihak berwajib perlu dilakukan untuk mengelakkan persaingan tidak sihat ini dihalakan kepada tujuan yang lebih baik.

 

Mungkin lebih baik jika setiap penyedia jalur lebar ini disyaratkan untuk memenuhi klasifikasi band atau kelajuan tertentu untuk menyediakan perkhidmatan disamping meletakkan tarikh atau ‘date line’ syarikat-syarikat ini untuk menaiktaraf perkhidmatan mereka agar mereka sentiasa berdaya saing disamping meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

 

Satu pelan ‘coverage’ tahunan juga perlu disyaratkan kepada penyedia perkhidmatan ini agar menyediakan perkhidmatan yang merangkumi kawasan-kawasan yang dirasakan sesuai dan tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja. Ini pastinya akan meningkatkan tahap ‘coverage’ dari setahun ke setahun.

 

Kadar kuota juga perlulah diambilkira. Jika kita lihat, kadar kuota yang ditawarkan seperti tidak logik dek akal. Bayangkanlah jika anda ditawarkan 1Gb sebulan dengan harga RM15. Ini agak tidak relevan dan mempunyai unsur ‘memerangkap’ pengguna untuk melanggan lebih. Seharusnya pengguna ditawarkan dengan kadar kelajuan dan bukannya kadar kuota. Hal ini perlu dibincangkan kerana penulis berpendapat cas melalui kadar kelajuan lebih bermakna dan memuaskan pengguna jika dibandingkan dengan kadar kuota.

 

Akhir kata, penulis agak fobia dengan penyedia perkhidmatan broadband hingga pada masa ini kerana syarat dan kualiti yang ditawarkan sentiasa berubah-ubah. Sekarang pun, penulis hanya melanggan TM Streamyx kerana cas langganannya yang berpatutan dan tiada kuota.

 

Bukanlah tujuan penulis untuk memburukkan mahupun mempromosikan mana-mana pihak tapi walaupun kualiti TM Streamyx tidaklah memuaskan tetapi cas yang dikenakan adalah berpatutan berbanding dengan penyedia perkhidmatan broadband pada masa ini.

0 komen dari pembaca: