Strategi Peperangan Laut dan Udara Klasik Diberi Nafas Baru Dalam Oil Rush


Bagi mereka yang gemar permainan berasaskan strategi atau RTS (Real Time Strategy), sudah semestinya anda akan sentiasa mencari permainan yang mampu menguji minda dan taktik peperangan anda. Diperkenalkan pada awal tahun 2012, Oil Rush yang pada pandangan awal saya merupakan sebuah permainan 'murahan' akhirnya menambat hati para pemain RTS yang menginginkan jalan permainan yang mudah diikuti dan kualiti grafik yang mantap. 

Menggabungkan stail permainan "Tower Defense" dan "Virus Infection" klasik, permainan ini membawa nafas baru kepada permainan bercorak analitikal klasik tersebut. Penggunaan enjin UNIGINE oleh pereka permainan ini, Unigine Corp. yang berpusat di Siberia (Tomsk, Russia) amat memeranjatkan saya kerana kualiti grafiknya yang seakan-akan dalam permainan "ANNO 2012". Ini membuktikan pengeluar permainan Indie Russia yang baru menapakkan kaki ke dalam dunia pembangunan permainan ini mampu menghasilkan sebuah permainan yang berkualiti tinggi, sesuai dengan citarasa kualiti dan corak permainan elektronik pada masa kini.

Senario dan Skop Permainan Oil Rush
Permainan "Oil Rush" ialah permainan dalam skop waktu masa hadapan yang memperlihatkan kesan peperangan nuklear manusia pada masa silam yang telah menyebabkan pencairan besar-besaran ais di kedua-dua kutub bumi (Utara dan Selatan). Pencairan bongkahan besar ais ini menenggelamkan hampir keseluruhan tanah rendah di bumi dan kawasan bukit-bukau yang tinggi sahaja yang terselamat daripada bencana tersebut.

Sedar atau tak, inilah Bandaraya Manhattan di Amerika Syarikat

Atas kejadian bencana ini, manusia yang terselamat terpaksa menyesuaikan diri untuk hidup di atas air dengan membina binaan terapung dan memfokuskan kepada keterusan hidup di dunia yang serba kekurangan. Atas dasar inilah timbul konfrontasi diantara pihak-pihak yang terselamat untuk mendapatkan bekalan makanan, perlindungan dan kemudahan elektrik yang keseluruhannya dijana oleh minyak. 

Skrin permulaan pada permainan Oil Rush
Koordinasi yang betul penting dalam kejayaan sesuatu misi
Oleh yang demikian, anda perlu menyiapkan anggota keselamatan anda untuk melindungi koloni dan sumber minyak anda daripada lanun dan pihak-pihak lain yang terdorong oleh sifat tamak di dunia serba kekurangan.  Permainan ini sangat hebat dari segi kualiti grafiknya yang menampilkan pelbagai unit udara dan laut yang mempunyai pelbagai kegunaan, kekuatan mahupun kelemahan. Jadi, anda perlu bijak untuk menggabungkan koordinasi perlindungan dan serangan menggunakan unit yang anda perolehi.

Mantaray - unit udara yang mempunyai kekuatan hebat dalam permainan ini

Permainan ini boleh dibeli dengan harga $19.95 (Lebih kurang RM61.66 - Sila rujuk kadar tukaran matawang Malaysia terkini jika anda ingin membeli). 

Secara keseluruhannya, permainan ini mudah untuk dimainkan dan tidak terlalu teknikal. Tambahan lagi sokongan untuk permainan Multiplayer dan Online turut disediakan dalam Oil Rush. 

Namun begitu, permainan ini bukanlah dalam tahap permainan yang membolehkan anda rasa berpuas hati kerana jalan permainan yang terlalu "directive" atau seolah-olah dalam aturan yang menghadkan kepelbagaian strategi serangan atau capaian objektif. 

Tambahan lagi, anda perlu mengikuti "peraturan permainan" yang mengatur sepenuhnya keupayaan dan kekuatan unit, walaupun mereka dalam bilangan yang ramai (Tak logik sangat apabila anda menghantar unit yang begitu banyak untuk menewaskan 2 buah kapal dan unit tersebut gagal "mencalarkan" 2 buah kapal tersebut atas dasar "undang-undang permainan"; batu lawan kertas = kertas kalah)

0 komen dari pembaca: